PETALING JAYA: Pertemuan sulung antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyentuh berkenaan aspek pembangunan dan kemakmuran negeri itu.

Menurut Anwar, pertemuan itu berlangsung di Kementerian Kewangan hari ini.

“Semoga kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam Facebook hari ini.

Pertemuan itu adalah kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan Pusat dan Kerajaan Negeri Perlis daripada Barisan Nasional (BN).

Pada PRU15, Mohd Shukri, 61, menjadi Menteri Besar pertama daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir Perlis buat julung kalinya sejak merdeka selepas gabungan itu berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kejayaan itu sekali gus menumbangkan kerajaan BN di negeri itu yang sudah mentadbir Perlis sejak 65 tahun lalu.

Anwar pula mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan pada 24 November lalu. – UTUSAN

The post Pertemuan sulung PM dan MB Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *