BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan memberikan cuti pada Isnin jika Barisan Nasional (BN) menang besar dan membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok.

Perdana Menteri sehubungan itu berharap pengundi termasuk orang muda dan mahasiswa memilih BN demi kestabilan dan kemakmuran.

“Terima kasih kerana balik mengundi. Insya-Allah kalau kita menang besar membentuk kerajaan, hari Isnin kita bagi cuti.

“Saya harap, esok mahasiswa dari Bera jangan tersilap kerana orang lama atau pengundi lama di Bera, saya tahu yang mereka akan mengundi BN esok.

“Saya harap pengundi muda, pengundi yang pertama kali mengundi ini iaitu para mahasiswa adalah seperti ibu bapa (masing-masing) yang memilih untuk mengundi BN  esok,” katanya pada program ramah mesra mahasiswa anak Bera di sini, hari ini.

Pada majlis itu lebih 600 mahasiswa daripada pelbagai universiti seluruh negara yang akan mengundi dalam PRU15 hadir.

Menurut Ismail Sabri, mahasiswa mempunyai dua pilihan sama ada kesengsaraan jika memilih pembangkang atau mengundi BN untuk kecemerlangan pada masa akan datang.

“Percayalah kita ada dua pilihan, di sebelah kiri untuk sengsara, di sebelah kanan untuk kecemerlangan, di sebelah kiri adalah parti pembangkang, jika kita pilih akan membawa kesengsaraan kepada kita dan masa depan.

“Sedangkan kecemerlangan adalah BN di sebelah kanan. Insya-Allah, kalau BN menang besar atau BN menang dengan membentuk kerajaan, kalau saya menang di Bera, dengan izin Allah SWT, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, insya-Allah pada 20 November saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri,” ujarnya. –UTUSAN

The post Pertimbang cuti Isnin jika BN bentuk kerajaan selepas PRU15 – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *