SHAH ALAM: Pengaruh Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah bergantung kepada kebolehpindahan pengundi Barisan Nasional (BN) kepada parti itu atau sebaliknya.

Sama ada pengundi BN akan mengundi PH atau sebaliknya, keadaan itu juga dipercayai akan menentukan faktor kemampuan gabungan tersebut untuk menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada PRN akan datang yang dijangka mampu memenangi 53 kerusi.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, UMNO dilihat mempunyai masalah lebih berat untuk memberikan pemahaman kepada akar umbi mengenai Kerajaan Perpaduan berbanding penyokong PH yang menerima realiti itu lebih baik.

“Setakat ini kalau kita tengok kepada beberapa kaji selidik berasingan, pengundi PH yang menerima dengan baik gabungan ini. Jadi, pada kesimpulan awal, sepatutnya untuk PH kekalkan 40 kerusi sebenarnya agak mudah saya boleh kata begitu kerana yang paling kuat menyokong dan menerima realiti Kerajaan Perpaduan ini adalah penyokong PH.

“Terutamanya kawasan di kawasan bandar dan separa banda yang faham tentang keperluannya, dasar dibuat kerajaan. Dari segi itu dalam keadaan PH sudah pun menang 40 kerusi on our own di Selangor (berdasarkan statistik pilihan raya lepas), risiko yang kita belum tahu lagi, ialah ketidaktentuan lebih kepada berapa banyak undi UMNO yang boleh dipindahkan kepada PH,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen PKR Selangor, hari ini.

Jelasnya, PH masih tertakluk kepada isu dalaman UMNO yang berdepan perhimpunan agung dan pemilihan parti sebelum menentukan bentuk kerjasama antara kedua-dua parti.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi itu menjelaskan, keberkesanan Kerajaan Perpaduan mempunyai pengaruh lebih besar terhadap keyakinan sokongan rakyat kepada gabungan BN-PH berbanding faktor-faktor lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan mengulangi pendirian bersedia untuk berdepan pemilihan parti apabila jawatan-jawatan utamanya dipertandingkan dalam pemilihan yang dijangka berlangsung suku pertama tahun ini.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, turut menjelaskan isu dalaman UMNO tidak akan mempengaruhi persediaan PH khususnya PKR untuk berdepan PRN yang dijangka berjalan serentak di keenam-enam negeri pada pertengahan tahun ini.

“Belum bermula. Kita memang akan buat keputusan itu maksudnya di sebelah PH kita kena buat keputusan, di sebelah BN pun kena buat keputusan itu sebab saya ingat setakat ini gambarannya ialah akan ada kerjasama pilihan raya di antara PH dan BN masuk dalam PRN di enam negeri.

“Tetapi di PH, kita akan terus buat persiapan dengan sasaran PH boleh pertahankan ketiga-tiga negeri dengan sasaran-sasarannya sementara untuk Kedah kerusi-kerusi tradisional kita. PKR ada lima,” ujarnya. – UTUSAN

The post Perubahan undi BN,PH faktor kuasai PRN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *