KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini sedikit berlainan berbanding sebelum ini kerana mempunyai proses khas bagi menguruskan pengundi yang mempunyai simptom Covid-19.

Sudah pasti mereka turut tidak ketinggalan menunaikan kewajipan mengundi hari ini.

Seorang pesakit yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata, perkara itu tidak menjadi halangan buat dirinya mengundi wakil rakyat pilihannya kali ini.

Dengan proses yang tersusun, jelasnya, ia sangat membantu beliau sehingga ke proses akhir dengan kerjasama daripada petugas yang dikhaskan daripada Kementerian Kesihatan.

“Sebaik sahaja sampai di pusat mengundi, saya memberitahu keadaan diri kepada petugas SPR dan dia membawa saya kepada petugas khas untuk menguruskan proses mengundi.

“Pada ketika itu, saya diberi pelekat khas berwarna biru yang menandakan saya pesakit Covid, kemudian petugas itu turut bertanya saya mengundi di saluran berapa.

“Sebelum saya mengundi, petugas itu akan memastikan saya sentiasa memakai pelitup muka dan sanitasi, kemudian memberi keutamaan kepada saya untuk mengundi dulu daripada mereka yang lain,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau menggunakan dakwat yang sama dengan orang lain untuk memangkah, beliau menjawab: “Ya, namun memberi jaminan yang perkara itu selamat untuk digunakan orang lain kerana sudah disanitasi terlebih dahulu”. 

Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, individu yang positif Covid-19 perlu berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut memudahkan urusan pengundian.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan semua pengundi termasuk mereka yang disahkan Covid-19 perlu mematuhi langkah am ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi memastikan proses pengundian lancar dan selamat.

“Petugas kesihatan juga ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi yang positif Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN

The post Pesakit Covid turut mengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *