PETALING JAYA: Pesakit kanser di negara ini dijangka meningkat sehingga 66,000 orang menjelang 2030 berbanding anggaran 49,000 individu yang mendapat diagnosis pada  2020.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kanser adalah penyakit sangat lazim yang mana hampir separuh daripada jumlah lelaki dan satu pertiga daripada wanita akan mendapat diagnosis kanser dalam hidup mereka.

“Di Malaysia, 49,000 individu dianggarkan mendapat diagnosis kanser pada 2020, dan angka ini dijangka meningkat kepada lebih 66,000 kes baharu setiap tahun menjelang 2030.

“Walau bagaimanapun, keadaan dunia sejak dua tahun lepas mungkin akan membuat perubahan yang tak dapat diramalkan terhadap jumlah yang diunjurkan.

“Kelewatan rawatan dan pengagihan semula sumber hospital akan membawa kepada diagnosis lewat,” katanya pada majlis pelancaran  “National Thrive Week” baru-baru ini.

Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Rangkaian Kanser Paru-paru Malaysia (LCNM), dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), bersama-sama dengan Pfizer Malaysia melancarkan “National Thrive Week” yang memberikan fokus terhadap komuniti kanser tahap lanjut dan metastatik.

Acara yang julung kali diadakan itu bagi mewujudkan platform supaya mereka yang menghidap kanser sama ada tahap awal, lanjut, mahupun metastatik dapat menerima sokongan sama rata sepanjang hidup mereka.

Sementara itu, Khairy berkata, program saringan, diagnosis awal dan intervensi dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser, tetapi orang ramai harus pertimbangkan dan ambil tindakan lanjut bagi memperbaiki kelestarian rawatan kanser dan pilihan penjagaan bagi mereka yang menghidap penyakit itu.

“Kami juga perlu mengakui kesempitan kewangan yang dihadapi oleh pesakit, menggalakkan perkongsian sektor awam dan swasta dan terus meningkatkan kadar kecelikan kesihatan melalui program pendidikan dan kesedaran.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pelancaran “National Thrive Week” yang julung kali diadakan.

“Saya harap kempen ini akan meningkatkan kefahaman dan penerimaan kita terhadap semua yang menghidap kanser pada masa ini,” ujarnya. – UTUSAN

The post Pesakit kanser dijangka meningkat kepada 66,000 pada 2030 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *