SHAH ALAM: Biarpun diuji menghidap kanser usus tahap empat, ia tidak melunturkan semangat Dr. Anis Mardiana Abdullah untuk menggenggam Ijazah Kedoktoran (PhD) pada Konvokesyen ke-95 Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam.

Anis Mardiana, 45, turut menerima Anugerah Hadiah Buku Inovasi Malaysian Technology Development Corp. (MTDC) menerusi hasil kajian beliau dalam pengangkutan dan logistik.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia tidak menggunakan kerusi roda kerana enggan menyusahkan orang lain.

“Saya baru diagnosis kanser kolon itu dua minggu lalu dan masih dalam keadaan terkejut apatah lagi menerima anugerah khas UiTM.

“Sewaktu menyambung PhD, saya tidak mengalami simptom teruk kecuali hanya tangan menggeletar dan menyangka mungkin akibat stress,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen itu di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, di sini.

Sidang pertama konvokesyen itu disempurnakan Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan melibatkan seramai 116 graduan ijazah Kedoktoran.

Jelas Anis Mardiana, dia akan menjalani pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz minggu depan.

“Jika mengikut kata doktor, penyakit saya ini sudah lama namun saya tidak merasai apa-apa sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, dia menggunakan pengalaman sebagai pegawai di Kementerian Kewangan dalam menjalankan kajian berkaitan logistik dan pengangkutan terutama dalam bidang halal.

“Sokongan suami dan anak banyak membantu saya menyelesaikan pengajian dalam tempoh hampir empat tahun,” katanya. – UTUSAN

The post Pesakit kanser usus genggam PhD, anugerah khas UiTM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *