MARANG: Seorang pesara direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis susulan penemuan mayat seorang wanita di Kampung Alor Gali di sini, minggu lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 59 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret , Zur Azureen Zainalkefli selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Marang di sini, hari ini.

Permohonan reman ke atas suspek tersebut dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Suspek sebelum itu ditahan polis di daerah Jeli, Kelantan pada pukul 2.30 petang semalam.

Mayat seorang wanita yang lengkap berpakaian itu ditemukan di kawasan semak di tepi jalan di Kampung Alor Gali seorang pencari daun palas pada pukul 2.30 petang, Khamis lalu.

Ketika ditemukan, bahagian badan mangsa berada dalam keadaan terlentang manakala bahagian kaki berada di tebing dan tiada tompakan darah ditemukan di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris, semalam, mengesahkan identiti mangsa dikenali sebagai Zarina Mukhtar, 57.

Beliau berkata, pengesahan itu dibuat berpandukan padanan rekod cap jari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pengecaman oleh ahli keluarga mangsa. – UTUSAN

The post Pesara direman bantu siasatan penemuan mayat wanita appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *