SUNGAI PETANI: Seorang pesara polis teruja apabila menjadi orang pertama daripada 12,913 pengundi berdaftar yang mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria Jaya untuk Parlimen Sungai Petani, di sini.

Ariffin Osman, 63, berkata, walaupun berkerusi roda kerana mengalami masalah kesihatan di lutut, dia sememangnya teruja untuk keluar mengundi lebih awal pada hari ini.

“Saya telah menantikan saat ini lama kerana rasa tanggungjawab memilih pemimpin untuk mentadbir negara. Sejak beberapa hari lalu saya nekad tidak mengambil makanan berlebihan, minum air masak banyak dan mengambil ubat ikut sukatan kerana tidak mahu kesihatan terjejas untuk keluar mengundi,” katanya ketika ditemui.

Menurut bekas pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, dia turut meminta isterinya, Faizah Baharum, 54, mengejutkannya awal pagi untuk bersiap kerana teruja untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai orang awam.

“Kita tidak tahu lagi nasib seterusnya, adakah berpeluang mengundi untuk PRU akan datang berikutan umur semakin meningkat. Jadi saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada kali ini dengan segera keluar mengundi dan tidak sangka jadi orang pertama,” katanya.

Ariffin yang tinggal di Taman Ria Jaya, di sini ditemani isterinya tiba di pintu pagar sekolah itu pada pukul 7.30 pagi walaupun tahu pusat pengundian hanya dibuka pada 8 pagi.

“Saya sabar menunggu sebelum di bawa ke saluran 1 untuk membuang undi sebaik dibenarkan masuk oleh petugas. Lebih manis, saya menerima ucapan tahniah daripada mereka kerana menjadi orang pertama mengundi yang membanggakan diri kerana turut mencatat sejarah peribadi untuk dikenang sepanjang hayat,” katanya. –UTUSAN

The post Pesara polis jadi individu pertama daripada 12,913 orang mengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *