SUNGAI PETANI: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan sebuah lori pasir di Jalan Kampung Jawa, Pinang Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, seorang pesawah berusia 44 tahun yang menetap di Taman Sejati, di sini maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku di sebuah simpang empat jalan yang tidak berturap berdekatan kawasan sawah padi.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kampung Kendondong menghala ke Kampung Jawa.

Manakala lori datang dari arah Kuari Pasir Sungai Muda menghala ke Jalan Pinang Tunggal.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit melepasi pertengahan simpang dan pada masa sama motosikal mangsa datang dari simpang sebelah kanan dan melanggar bahagian tengah kanan lori.

“Susulan pelanggaran itu, motosikal mangsa terbalik dan terseret pada tayar belakang sebelah kanan lori terbabit,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori yang berusia 67 tahun tidak cedera.

“Mayat dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan Covid-19 dan proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya. – UTUSAN

The post Pesawah maut, motosikal bertembung lori appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *