PORT DICKSON:  Daerah pelancongan, Port Dickson kini mempunyai satu lagi daya tarikan baharu iaitu menerusi penganjuran Pesta Lampu Antarabangsa Port Dickson yang berlangsung ketika ini sehingga 15 Mac depan.

Setiausaha Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Muhammad Zaki Yahya berkata, pesta julung kali diadakan di negara ini itu dijangka bakal menarik 1,000 orang pengunjung sehari. 

“Pihak MPPD membantu pihak penganjur untuk mempromosikan satu tarikan baharu yang diadakan pada waktu malam di daerah ini, ia sekali gus dapat menarik pengunjung melihat suasana cahaya unik di sini. 

“Walaupun lokasi di Kampung Baru Sirusa ini agak terpencil dan masih baharu namun, saya percaya ia tetap dapat menarik pelancong. 

“Saya berharap pesta ini dapat menjadi lokasi pelancongan baharu selain pantai peranginan yang terkenal di Port Dickson,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama pelbagai agensi di pesta tersebut yang diadakan di Kampung Baru Sirusa, di sini semalam.

MUHAMMAD Zaki Yahya ketika ditemui pemberita selepas lawatan pelbagai agensi ke Pesta Lampu Antarabangsa Port Dickson yang diadakan di Kampung Baru Sirusa, Port Dickson, semalam. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, pengurus bagi penganjuran Pesta Lampu Antarabangsa Port Dickson, Lee Kun Wah berkata, lebih sejuta mentol lampu digunakan bagi pencahayaan pesta tersebut yang menampilkan pelbagai rekaan menarik dan unik dari enam buah negara iaitu Malaysia, Thailand, Jerman, Itali, Mesir dan Belanda.

“Kawasan ini memang agak terpencil namun lokasinya agak menarik kerana tidak mempunyai sebarang cahaya lain kerana dikelilingi kawasan kelapa sawit,” katanya yang memberitahu ia dibuka kepada pengunjung setiap hari bermula pukul 6 petang sehingga 10.30 malam dengan bayaran masuk tertentu.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nur Bazli Nasarudin, 21, berkata, penganjuran pesta berkenaan merupakan sesuatu yang unik dan pengalaman baharu buat dirinya.

“Pastinya ia memang menarik untuk dikunjungi dan pelancong ke Port Dickson seharusnya tidak melepaskan peluang untuk datang ke sini,” katanya.-UTUSAN.

The post Pesta Lampu Antarabangsa tarikan baharu ke Port Dickson appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *