TUMPAT: Kawasan pintu air Kampung Jubakar menjadi tumpuan kaki pancing untuk mengail ikan patin secara ‘sembat’ setiap kali banjir melanda jajahan ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir setiap hari kaki pancing akan bersilih ganti memburu hidupan air itu seawal pukul 5 pagi.
Seorang pemancing, Azizi Anuar, 33, dari Kampung Machang Gochoh, Pasir Mas, berkata, seawal pukul 5 pagi dia sudah tiba di pintu air itu semata-mata mahu memancing ikan sungai yang menjadi kegemaran ramai.
Menurutnya, sejak mula memancing di kawasan itu pada 19 Disember lalu dia sudah menjana pendapatan sebanyak RM600 wang hasil jualan ikan patin.
“Setiap ikan patin yang diperoleh dijual pada harga RM15 sekilogram dan kebanyakan pelanggan yang membelinya adalah penduduk kampung atau mereka yang datang ke sini untuk melihat ‘pesta’ tersebut.
“Adakalanya, saya akan membawa pulang seekor ikan patin untuk dimasak dan makan bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi, Mohd. Nor Husin, 40, berkata, sejak banjir melanda Tumpat dia telah memperoleh pendapatan sebanyak RM200 hasil jualan patin yang dipancing.
Katanya, apabila pintu air itu dibuka secara tidak langsung ikan akan timbul dan kaki pancing akan mengambil peluang untuk ‘memburu’ ikan-ikan tersebut. –UTUSAN
The post Pesta ‘sembat’ ikan patin di Kampung Jubakar meriah appeared first on Utusan Malaysia.