ROM: Persatuan petani terbesar di Itali menentang penggunaan istilah ‘mafia‘ untuk menjual pelbagai produk makanan dan minuman di seluruh dunia kerana disifatkan sebagai keterlaluan serta menyinggung perasaan.

Persatuan perdagangan bebas usahawan pertanian dan petani Itali, Coldiretti yang menjalankan siasatan menyeluruh mendapati hampir 300 restoran di luar Itali mempunyai nama bertemakan mafia.

Antaranya termasuk El Padrino di Sepanyol, Don Corleone di Finland, Burger Mafia di Jerman, Falafel Mafia di Amerika Syarikat (AS) dan Nasi Goreng Mafia di Indonesia.

Pengurus Cawangan Coldiretti, Alessandro Apolito berkata, penemuan paling mengejutkan ialah botol wiski berbentuk mesingan yang dihasilkan di Scotland dipanggil Cosa Nostra Shot.

“Adalah memalukan untuk berfikir bahawa seseorang boleh membeli sesuatu seperti ini walaupun ia hanya untuk gurauan. Bagi kami, bergurau tentang perkara serius seperti mafia adalah tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata, pemasaran bertemakan mafia bukan sahaja menyebabkan kerosakan yang luar biasa kepada imej dan pembuatan produk Itali, tetapi sangat menyinggung perasaan rakyat Itali yang menderita di tangan organisasi jenayah terkenal di negara itu.

“Menggunakan dan membangkitkan nama jenayah terancang untuk tujuan pemasaran tidak boleh diterima. Terdapat kerosakan ekonomi kepada sektor pertanian makanan kita dan melukakan mangsa-mangsa. Kami perlu mencapai persetujuan di peringkat Eropah untuk memastikan perkara ini tidak boleh berlaku lagi,” katanya.

Sepanyol didapati menjadi tuan rumah bilangan terbesar sebanyak 63 restoran dan bar bertemakan mafia, diikuti oleh Ukraine, Brazil, Indonesia, Russia, India, Jepun, Poland dan AS.

Walaupun terdapat perjanjian Kesatuan Eropah (EU) untuk menarik balik produk di bawah peraturan penetapan asal yang dilindungi (DOP), tetapi tidak ada langkah untuk menghalang gimik pemasaran seperti restoran atau makanan bertemakan mafia.

The post Petani Itali marah pengusaha guna istilah mafia untuk lariskan produk appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *