KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya tidak terkejut dengan tindakan calon Pakatan Harapan (PH) memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan pilihan raya.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, beliau sudah jangka akan ada pihak yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Putatan tersebut.

“Itu kita sudah jangka. Apabila sesuatu keputusan jumlah majoritinya begitu kecil, memang selalunya akan timbul petisyen pilihan raya.

“Saya sudah menerima (petisyen) dan telah mengarahkan pasukan peguam saya untuk membuat tindakan selanjutnya,” katanya selepas jelajah mesra sempena Tahun Baharu Cina di Putatan hari ini.

Menurut beliau, petisyen yang difailkan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari itu telah diterima pada minggu lalu.

Katanya, beliau bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja yang ingin mencabar keputusan yang telah dibuat semasa PRU-15.

Pada PRU-15, Shahelmey menang dengan majoriti 124 undi setelah memperoleh 16,234 undi bagi menewaskan Awang Husaini yang memperoleh 16,110 undi.
Mengulas lanjut katanya, petisyen yang difailkan itu tidak dianggap sebagai satu ancaman sebaliknya, beliau menerima hakikat bahawa kemenangan yang diperoleh dengan majoriti tipis.

Selain Parlimen Putatan, petisyen turut difailkan bagi kerusi Parlimen Tuaran yang dimenangi oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH).

Madius menang kerusi Parlimen Tuaran dengan majoriti 233 undi setelah memperoleh 24,943 undi menewaskan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai yang memperoleh 24,710 undi.

The post Petisyen cabar keputusan pilihan raya sudah dijangka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *