MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 31 Januari ini bagi keputusan bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Petisyen itu dikemukakan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid melalui Tetuan Rosfinah & Co. pada 3 Januari lalu dalam usaha membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tarikh-tarikh itu dimaklumkan kepada pemberita oleh peguam, Mohd. Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati selaku responden selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis.

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN

Dalam PRU15, Abdul Hakim yang memperoleh 21,193 undi tewas kepada Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Masjid Tanah itu dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 4,411 undi.

Terdahulu, Mohd. Faizi dalam hujahan bantahan awalnya mengemukakan empat bantahan utama yang menyebabkan petisyen berkenaan salah dan perlu ditolak oleh mahkamah.

Menurutnya, bantahan pertama membabitkan pemfailan petisyen dibuat melebihi tempoh 28 hari selepas pilihan raya tamat, memandangkan asas dakwaan pempetisyen adalah berkaitan rasuah wang serta rasuah secara penganjuran jamuan.

“Dalam kes ini kami berhujah bahawa pempestisyen telah memfailkan petisyen lebih dari tempoh 28 hari. Keduanya adalah berkaitan lantikan peguam yang mana tidak ada setem disertakan.

“Kaedah-kaedah pemfailan petisyen memperuntukkan setiap lantikan peguam mewakili pempetisyen mesti disetem, ada bayaran duti setem dan sebagainya. Jadi perkara itu juga tidak dilakukan dan kita berhujah petisyen ini tidak sah dan cacat,” katanya.

Tambah Mohd. Faizi, bantahan ketiga melibatkan petisyen yang difailkan gagal memerihalkan keadaan seperti yang didiakwa iaitu bagaimana jamuan yang diadakan selepas PRU15 tamat dapat mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Jelasnya, tidak ada cukup fakta yang menyokong dakwaan tersebut dan tidak dinyatakan juga dalam petisyen bahawa jamuan tersebut adalah untuk sukarelawan yang bertugas semasa PRU15.

“Akhir sekali pihak pempetisyen gagal untuk menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen ini.

“Semua petisyen pilihan raya perlu menamakan pegawai pengurus dan SPR kerana jika keputusan dibatalkan, mahkamah akan mengarahkan kedua-dua responden untuk mengadakan semula pilihan raya. Ini antara kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan dalam petisyen,” katanya. – UTUSAN

The post Petisyen Parlimen Masjid Tanah tidak sah, cacat – Peguam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *