Apabila Daniel Wilson Sinin, 24, mendapat tahu bahawa pendaftaran bagi Kohort 2 Petronas BeDigital Bootcamp telah dibuka, dia nekad untuk menyertainya.

Selepas terlepas peluang menyertai edisi pertama pada Mac lepas, pelajar tahun akhir Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu tidak mahu melepaskan kali ini.

Daniel Wilson

Ternyata penyertaannya dalam program selama dua minggu itu menjadi tempoh penting dalam hidup Daniel, yang berasal dari Tuaran, dan anak bongsu daripada tiga beradik. Pencapaian cemerlangnya dalam program yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah membuka jalan untuknya mendapat tawaran pekerjaan dari Petronas.

“Saya bersyukur kerana ia menyediakan platform untuk saya belajar perkara baharu, serta meningkatkan keyakinan, dan yang paling penting, ialah tawaran kerja,” kata Daniel.

Peluang pekerjaan

Sebelum menyertai bootcamp, Daniel, yang kedua-dua ibu bapanya cacat penglihatan, sering tertanya-tanya tentang masa depannya. Malah, dia telah mula menghantar permohonan kerja ketika masih di semester akhir, namun belum berhasil.

Berbekalkan azam dan keyakinan, Daniel memulakan hari pertama penyertaannya dalam bootcamp itu, yang berlangsung pada 15 hingga 26 Ogos lalu, dengan keazaman melakukan yang terbaik.

Apabila namanya diumumkan sebagai antara yang ditawarkan pekerjaan pada majlis penutup program itu, segala keraguannya tentang masa depan beransur-ansur hilang.

“Peluang ini sangat bermakna, terutamanya buat ibu saya yang selama ini bekerja keras sebagai tukang urut buta untuk membesarkan kami,” katanya.

Pada keseluruhannya, seramai 15 peserta telah ditawarkan pekerjaan oleh kumpulan syarikat Petronas, enam oleh Tata Consultancy Services (TCS), dan tiga lagi dari Sabah Energy Corporation (SEC).

“Saya menghubungi ibu bapa saya dan memberitahu berita gembira ini.

“Saya tidak menyangka akan mendapat tawaran pekerjaan yang saya impikan, memang saya gembira,” kata seorang lagi peserta Nur Azlin Jahipin yang ditawarkan pekerjaan oleh SEC.

Menurutnya, Petronas BeDigital Bootcamp adalah platform bagi peserta mempersiapkan diri sebelum memasuki pasaran kerja.

Modul pembelajaran

Petronas BeDigital Bootcamp adalah program dua minggu yang dirangka khusus untuk meningkatkan kebolehpasaran bakat tempatan.

Ia berlangsung buat pertama kalinya pada bulan Mac lalu, disertai 18 pelajar tahun akhir UMS. Bootcamp edisi kedua mendapat penyertaan 50 pelajar dari UMS, UiTM Sabah dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Program ini mengandungi modul berorientasikan digital dan keusahawanan yang dikendalikan oleh jurulatih dari Petronas Digital Sdn. Bhd. (PDSB) serta rakan kongsinya Microsoft, SEEd.Lab, Petrosains dan beberapa lagi.

Sepanjang program itu, peserta didedahkan dengan pengolahan data, pembentangan yang berkesan serta kemahiran berkomunikasi yang akan meningkatkan daya saing dalam era digital.

Mereka juga mendapat bimbingan mengenai penyediaan ikhtisar diri sama ada secara bertulis atau melalui video, keterampilan profesional dan teknik menghadapi temuduga. Peserta kemudian berentap dalam sesi pembentangan “shark tank” sebagai kemuncak pembelajaran mereka dalam program itu.

Peserta penuh semangat

Ketua Pegawai Digital Petronas Aadrin Azly berkata para peserta adalah individu bersemangat tinggi untuk meningkatkan keupayaan diri termasukmemanfaatkan cuti semester untuk menyertai bootcamp.

“Pencapaian mereka dinilai sepanjang bootcamp. Peserta yang menunjukkan prestasi terbaik berpeluang mendapat tawaran pekerjaan bersyarat selepas menjalani program,” katanya.

Mereka dipilih berdasarkan kelayakan akademik, kemahiran berkomunikasi, proses berfikir, dan daya kepemimpinan.

Melebarkan perspektif

Nizam Nordin, 23, yang merupakan antara 18 peserta bootcamp pertama, dapat membayangkan betapa sengitnya suasana pembelajaran yang dilalui oleh peserta program itu.

Nizam yang telah ditawarkan pekerjaan oleh PDSB, berkata program itu membuka mindanya tentang peluang yang boleh diterokai berbekalkan ijazah Sains Komputer dari UMS.

Dia tidak menyangka akan mendapat pekerjaan yang berkaitan dengan ijazahnya kerana pasaran pekerjaan bagi bidang Sains Komputer amat kompetitif di Sabah.

Oleh sebab itu, dia memutuskan untuk meneroka kerjaya dalam bidang selam skuba yang diminatinya apabila tamat pengajian kelak.

Namun penyertaannya dalam Petronas BeDigital Bootcamp mengubah perancangan kerjayanya dan membawanya kembali ke alam pekerjaan berkaitan digital.

Membina keyakinan

Suffian Abdul Karim, seorang lagi peserta Kohort 2, yang ditawarkan pekerjaan oleh TCS berkata, keyakinannya jauh meningkat berbanding sebelum itu.

“Sebelum menyertai bootcamp, keyakinan saya berada di tahap 5 daripada skala 10. Selepas program itu, saya boleh katakan ia kini berada di tahap 9 dalam skala 10,” kata Suffian yang juga berasal dari Tuaran. – UTUSAN

The post Petronas BeDigital Bootcamp sediakan pengalaman berharga appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *