KUALA TERENGGANU : Petronas  menyampaikan sumbangan kepada agensi penyelamat Terengganu di dalam usaha membantu agensi berkenaan membuat persediaan menghadapi banjir tidak lama lagi.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, antara peralatan yang disampaikan termasuklah empat unit bot yang dilengkapi dengan enjin, tangki bahan api, kemudahan roda mudah alih, 1,000 unit khemah (C-Tent), 700 unit jaket keselamatan dan 7,000 helai baju hujan.

Menurutnya, Petronas menghargai  komitmen yang diberikan oleh kerajaan negeri serta semua agensi penyelamat di dalam operasi banjir yang pernah berlaku di Terengganu selama ini.

“Petronas berharap agar sumbangan yang disampaikan ini dapat membantu agensi penyelamat dalam membuat operasi sepanjang musim tengkujuh nanti.

“Sumbangan hari ni adalah sebahagian daripada 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan yang disumbangkan Petronas ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan semua sumbangan tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambahnya, sumbangan itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen Petronas dalam membantu mangsa banjir bernilai RM25 juta seperti mana yang diumumkan pada Disember 2021 yang lalu.- UTUSAN

The post Petronas sampai sumbangan kepada agensi penyelamat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *