RANTAU PANJANG: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menyumbangkan 40,000 liter minyak petrol dan diesel untuk kegunaan kenderaan agensi penyelamat bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu. 

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M. Ahmad Shazly  Ramli berkata, daripada jumlah tersebut 30,000 liter adalah minyak diesel sebelihnya melibatkan bahan api petrol.

Menurutnya, sumbangan itu bertujuan melancarkan tugas-tugas menyelamat dan aktiviti pembersihan pasca banjir.

“Bagi memudahkan pergerakan, pengisian bahan api itu dilakukan secara mudah alih apabila kita menggunakan kenderaan minyak bergerak (ROVR) untuk tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, ROVR berada di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rantau Panjang untuk mengisi minyak diesel dan petrol kepada kenderaan agensi penyelamat dari Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penyelamat lain.

M. Ahmad Shazly memberitahu, sebelum ini Yayasan Petronas telah menyampaikan sumbangan kepada 2,700 keluarga mangsa banjir di tiga negeri  iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang menerusi Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022.

Katanya, sumbangan itu berupa keperluan asas seperti air mineral, selimut, tuala mandi, peralatan mandian, ubat gigi dan berus gigi serta makanan disampaikan kepada mangsa.

“Sumbangan itu kita agihkan kepada mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.-UTUSAN

The post Petronas sumbang 40,000 liter petrol, diesel untuk agensi penyelamat bantu mangsa banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *