SAUDARA PENGARANG,

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun lalu membuat saya mengimbau kembali pada bait-bait lirik lagu Anak Kecil Main Api yang asal. Bukan yang telah diubah sehingga hilang jiwa Melayu dalam lagu berkenaan. Kita lihat rangkap asli kedua dan ketiga.

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri.

Kedua-dua rangkap ini adalah realiti kehidupan yang kita lalui selama ini. Kekayaan bumi Melayu hanya sebahagian kecil adalah milik Melayu, selebihnya milik orang lain.

Ada bermacam sebab kenapa ia terjadi, antaranya sikap pemimpin Melayu sendiri kalau hendak dibincang, panjang berjela.

Saya juga hendak memberi tumpuan kepada rangkap lirik asli kelima yang ditulis oleh bekas Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Tan Sri Dr. Nordin Kardi.

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri.

Merujuk kepada rangkap ini, betulkah kita hanya tinggal kuasa? Atau kuasa itu sebenarnya sedang perlahan-lahan melurut daripada genggaman?

Ayat terakhir dalam rangkap tersebut, menyebut harga diri. Ini juga telah tiada pada pemimpin Melayu sekarang.

Rakyat melihat kebanyakan pemimpin Melayu yang ada, tidak sepi daripada skandal rasuah, salah guna kuasa dan tidak jujur serta tidak bercakap benar. Minggu ini cakap lain, minggu depan buat lain.

Seperti rangkap kedua, sementara orang Melayu masih terkial-kial memperkukuhkan ekonomi agar dapat mengembalikan hasil kekayaan bumi Melayu ke asalnya. Kita sekarang berdepan dengan rangkap kelima, di mana kuasa juga hampir terlepas.

Mari kita lihat sejarah China pada awal abad ke-20. Chiang Kai-Shek ialah ketua parti Kuo Ming Tang (KMT) yang berkuasa di negara itu dari 1928 hingga 1949 sebelum berundur ke Taiwan. KMT bermusuhan dengan Parti Komunis Cina (CPC) yang mana permusuhan ini melibatkan perang saudara dan pembunuhan kejam antara kedua-duanya.

Pada masa sama ketika 1931, Jepun menjajah China dengan memasuki Manchuria. Pada 1937, Jepun meluaskan jajahannya sehingga Beijing. Maka, berlakulah gabungan antara dua parti politik yang bermusuhan bertahun-tahun lamanya untuk menentang penguasaan Jepun.

Sebaik sahaja Jepun berundur, KMT dan CPC menyambung persengketaan, berperang sehingga 1949, di mana akhirnya Kai-Shek terpaksa berundur ke Taiwan setelah dikalahkan oleh CPC yang dipimpin Mao Ze Dong pada masa itu.

Apa kaitannya sejarah KMT ini? Ini adalah kisah yang sedang digunakan oleh segelintir pihak bagi menjelaskan suasana politik di negara kita. Perumpamaannya, KMT ialah Barisan Nasional (BN), Jepun ialah Perikatan Nasional (PN) dan CPC ialah Pakatan Harapan (PH).

BN yang mulanya berkuasa, sentiasa bermusuhan dengan PH, kini bergabung untuk menentang PN. Setelah PN tewas nanti, PH hanya perlu berdepan BN yang sekarang dilihat lemah. Maka, kesudahannya ialah kemenangan mutlak pada PH.

Pada PRU15, PH memenangi 82 kerusi, di mana lebih 60 peratus adalah bukan Melayu. Adakah kuasa orang Melayu akan terlepas dan hilang seperti mana hilangnya rangkap kelima lirik lagu asal pada versi baharu lagu berkenaan? – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM, Pemerhati isu semasa & politik

The post PH akan menang secara mutlak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *