PETALING JAYA: Persoalan sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan Pusat menjadi tanda tanya ekoran sidang akhbar Barisan Nasional (BN) hari ini berhubung kemelut politik melanda tanah air.

Hal ini kerana terdapat 26 ahli Parlimen BN menghadiri sidang akhbar dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi manakala baki empat wakil rakyat tidak hadir.

Walaupun Ahmad Zahid mengatakan tiada keputusan dibuat untuk menyokong PH atau PN, jika angka 26 itu dicampur dengan jumlah 82 kerusi dimiliki PH, belum mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan keseluruhan berjumlah 108 iaitu masih ketinggalan tiga kerusi mencapai majoriti mudah 112 kerusi.

Sejurus sidang akhbar itu, Ahli Parlimen BN Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengeluarkan kenyataan untuk menyatakan pendirian  tidak menyokong PH.

Terdahulu, gambar memaparkan Ahli Parlimen BN bersalaman dan duduk berbincang dengan pemimpin PH tular dalam media sosial.

Perkara sama juga dihadapi PN, apabila Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor yakin dapat membentuk kerajaan sedangkan ketinggalan 11 kerusi setelah dicampurkan PN (73 kerusi) bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22 kerusi) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam kerusi).

Justeru, Muhyiddin yang mempunyai 101 sokongan Ahli Parlimen masih memerlukan baki sokongan sama ada BN atau mana-mana parti lain.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH menang 82 kerusi manakala PN pula 73, BN 30 kerusi, GPS (22), GRS (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Kesejateraan Demokratik Malaysia (KDM) (satu), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua).

Maka, selain GPS dan GRS, BN menjadi penentu utama untuk  mencukupkan angka majoriti mudah membentuk kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, kekuatan Warisan, KDM, PBM dan Bebas tidak boleh pandang rendah kerana sokongan amat diperlukan sama ada PH atau PH untuk mewujudkan sebuah kerajaan stabil.

Segala tertakluk kepada Istana Negara setelah menerima surat akuan daripada kesemua parti bagi membentuk kerajaan Pusat pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum pukul 2 petang ini. – UTUSAN

 

The post PH atau PN belum cukup majoriti 112? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *