MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menamakan calon daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman untuk mewakili gabungan berkenaan di kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dalam sidang akhbar khas di Graha Amanah Melaka, Bukit Katil di sini hari ini.

Mutalib yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda merupakan calon keenam diketengahkan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Adly berkata, peletakan Mutalib di Masjid Tanah tidak menimbulkan isu calon luar kerana parti lain turut menggunakan model sama termasuk di kerusi Parlimen Alor Gajah.

Katanya, apa yang penting dan dinilai PH adalah potensi dan bakat seseorang itu untuk menjadi ahli Parlimen.

“Ini tidak bermaksud di kawasan itu tidak mempunyai tokoh, tetapi kita mahu beri ruang kepada bakat-bakat muda. Saya fikir Mutalib dengan latar belakangnya pasti boleh berjaya dan membangunkan kawasan Parlimen Masjid Tanah.

“Tidak semestinya calon merupakan anak tempatan atau luar kerana asasnya berbalik kepada karisma yang ada pada calon tersebut,” katanya yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

Tambah Adly, PH Melaka tidak akan mewujudkan manifesto khas PRU15 kepada rakyat negeri ini setelah mengambil kira keseluruhan tawaran di peringkat nasional.

Jelasnya, ini kerana tawaran PH yang melibatkan lebih 30 perkara berfokus dan memperkenalkan kira-kira 160 inisiatif dilihat mampu menyelesaikan masalah dan isu dihadapi rakyat.

Menurutnya, banyak perkara dalam tawaran tersebut telah melibatkan permasalahan yang berlaku di Melaka.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PH sudah merangka tawaran-tawaran berdasarkan masalah dan isu-isu berbangkit. Apabila kita baca manifesto ini sebenarnya banyak perkara-perkara yang terkait dengan Melaka.

“Antaranya melibatkan kenaikan kos sara hidup, pendidikan dan kesihatan. Sebab itu saya fikir kita tidak akan mewujudkan satu manifesto khas untuk Melaka.

“Ini kerana semua isu-isu rakyat telah kita sentuh dalam tawaran PH sempena PRU15,” katanya. – UTUSAN

The post PH beri Masjid Tanah kepada Muda appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *