JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor yakin mampu memperoleh keputusan yang lebih baik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi.

Pengerusinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan keputusan positif yang diraih pada PRU14 sehingga membentuk kerajaan Persekutuan.

“Gelombang rakyat yang berlaku pada PRU14 menyaksikan PH Johor berjaya menawan 18 kerusi di negeri yang merupakan kubu kuat UMNO.

“PH Johor mendapat sokongan penuh rakyat ketika itu menyebabkan kita berjaya memperoleh 18 daripada 26 kerusi di negeri ini. 

“Tidak mustahil PH Johor mampu kembali merobohkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini melihatkan sokongan dan momentum ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan 26 calon PH Johor, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PH Johor, Liew Chin Tong.

Pada PRU14, PH Johor berjaya memenangi kerusi Segamat, Sekijang, Labis, Pagoh, Ledang, Bakri, Muar, Kulai dan Sri Gading. 

Turut dimenangi PH ialah Batu Pahat, Simpang Renggam, Kluang, Tebrau,  Pasir Gudang,  Pulai,  Iskandar Puteri, Tanjung Piai dan Johor Bahru. 

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga calon bagi kerusi Pulai berkata, PH Johor berhasrat untuk meluaskan ‘jajahan’ mereka ke kawasan Parlimen Pontian, Sembrong, Tenggara dan Pengerang. 

“Kita sedar empat kerusi itu adalah kubu kuat BN, namun rakyat setempat sudah tentu mahukan pembaharuan dilakukan dan kita akan memberikan tawaran yang menarik di situ. 

“Tambahan pula gerak kerja jentera telah dimulakan ke kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu. Kita harap pengundi luar yang pulang akan mengundi untuk pembaharuan,” katanya. –UTUSAN

The post PH Johor sasar menangi 22 kerusi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *