KANGAR: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yakin gabungan tersebut akan dapat membentuk kerajaan negeri di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keyakinan itu berdasarkan peningkatan momentum sokongan rakyat terhadap PH menerusi siri kempen mereka walaupun peluang kemenangan masih terbuka buat setiap calon lain yang bertanding. 

Menurut Noor Amin, PH dijangka dapat menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di samping mempertahankan kawasan dimenangi sebelum ini seperti Indera Kayangan, Sena dan Kuala Perlis.

“Kita lihat PH berpeluang untuk tambah kemenangan satu lagi kerusi DUN bawah Parlimen Kangar sama ada di Bintong atau pun Kayang.

“Empat lagi kerusi DUN akan dapat dimenangi berkemungkinan akan datang dari dua Parlimen iaitu Arau dan Padang Besar, sekali gus membolehkan kita membentuk kerajaan negeri di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peluangnya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kangar, Noor Amin berkata, beliau berkeyakinan mampu menang di kawasan itu berdasarkan rekod perkhidmatannya sebelum ini.

“Bagi saya setiap pilihan raya adalah berbeza dan semua calon ada peluang masing-masing, cuma kelebihan saya sebagai penyandang ialah kami dapat menceritakan rekod perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, beliau juga percaya rakyat dapat membuat penilaian sebaiknya berdasarkan maklumat yang diperolehi mereka bagi memilih wakil rakyat dalam PRU15.

“PH optimis dan dalam sepanjang lebih 10 hari kita berkempen untuk jumpa pengundi, mereka memberikan maklum balas yang sangat baik,” katanya. – UTUSAN

The post PH mampu bentuk kerajaan di Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *