KANGAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin gabungan berkenaan akan membuat kejutan dengan menang kesemua tiga kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Kehadiran beliau yang juga Presiden PKR buat kali ketiga ke negeri ini juga adalah bagi memastikan Perlis bersama-sama negeri-negeri lain di seluruh negara melakukan perubahan.

Katanya, kehadiran beliau ke Kangar adalah bagi memberi mesej jelas bahawa PH akan mengekalkan kerusi parlimen berkenaan selain merampas dua lagi kawasan Parlimen.

“Saya mudah sahaja, siapa nak sokong saya jadi Perdana Menteri, terima kasih, tapi saya tidak boleh jadi (Perdana Menteri) kalau mereka (calon PH Parlimen) tidak menang.

“Saya cuba datang juga ke Kangar ini nak beri satu mesej saya nak orang Perlis bagi kejutan menang semua tiga Parlimen di Perlis ini. Saya juga nak orang Perlis bagi kejutan tukar kerajaan negeri ini supaya saya boleh beri kerjasama angkat kembali ekonomi negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini.

Dalam PRU14, PH yang ketika itu menggunakan logo PKR menang Parlimen Kangar buat pertama kali dalam sejarah dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut iaitu Indera Kayangan, Sena dan Kuala Perlis.

Parlimen Kangar khususnya bakal menyaksikan pertembungan sengit apabila penyandangnya, Noor Amin Ahmad (PH) akan dicabar empat calon lain iaitu Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya (BN), Zakri Hassan (PN), Rohimi Shapiee (Warisan) dan Nur Sulaiman Zolkapli (GTA).

Menjelang hari pengundian Sabtu ini, pertembungan lebih tertumpu kepada Noor Amin dan Fathul Bari yang disebut-sebut mempunyai kelebihan merampas Kangar.

Sementara itu, Noor Amin ketika ditemui berkata, beliau optimis dapat mengekalkan kemenangan di Parlimen Kangar selain menyifatkan semua calon ada kelebihan masing-masing.

“Sepanjang tempoh kempen kita sudah mengedarkan bahan kempen ke 14,000 rumah di kawasan berkenaan dan berharap dapat mencapai 80 peratus penduduk di situ menerima bahan kempen.

“Bagi saya pilihan raya kali ini berbeza kerana semua calon ada kelebihan masing-masing namun akhirnya penduduk akan menilai perkhidmatan yang dilakukan di sini,” katanya. – UTUSAN

The post PH mampu lakar kejutan di Perlis – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *