PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu diberi keutamaan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan kerana memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak dan memperoleh undi popular sebanyak 35 peratus.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, secara asasnya parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat wajar diberikan peluang untuk membentuk kerajaan bersama parti lain.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan rundingan bersama pihak lain ke arah pembentukan kerajaan.

“PH menang undi popular paling banyak kira-kira 35 peratus sedangkan Perikatan Nasional kira-kira 32 peratus, kalau ikutkan undi popular dan bilangan kerusi, pertimbangan ikut lunas demokrasi di mana yang menang paling banyak harus dianggap sebagai pemenang.

“Saya harap ini dihormati oleh rakyat dan parti-parti politik dengan mengambil kira kelebihan pada PH. Jadi, kita tunggu pengumuman dibuat oleh Datuk Seri Anwar tentang rundingan yang akan diadakan dengan parti-parti lain kerana jelas tiada satu parti atau gabungan yang memungkinkan perbincangan bersama gabungan lain untuk membentuk kerajaan Persekutuan stabil untuk masa depan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas bertemu bersama penduduk Bagan di Pulau Pinang.

Keputusan PRU15 menyaksikan semua parti politik menghadapi masalah membentuk kerajaan Persekutuan ekoran tiada yang mencapai majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

Setakat pukul 2 pagi, Pakatan Harapan (PH) hanya menang 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula 73, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua).

Keadaan itu dirumitkan dengan tiada satu gabungan yang dapat dibentuk oleh parti-parti berkenaan kecuali PH dan PN bergabung membentuk kerjasama, namun ia satu yang mustahil berlaku. –UTUSAN

 

 

The post PH perlu diberi peluang bentuk kerajaan -Guan Eng appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *