KOTA TINGGI: Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pengerang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Che Zakaria yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berkata, kepercayaan diberikan Parti Amanah Negara (Amanah) itu adalah satu penghormatan kepadanya dan nekad untuk bersungguh-sungguh memenangi kerusi tersebut.

Namun, beliau sedar cabaran yang akan dihadapinya kerana Parlimen tersebut adalah kubu kuat BN dan UMNO, tetapi itu tidak menghalangnya untuk berjuang dalam usaha memberi perkhidmatan lebih baik di Pengerang.

“Amanah dan PH menawarkan masa depan negara yang lebih bersih selain bebas korupsi dan kleptokrasi. Rakyat perlu sedar mereka perlu membebaskan negara daripada terus dibelenggu masalah kerajaan BN.

“Sudah cukup negara ini terbelenggu dengan masalah rasuah dan tiada integriti, pecah amanah dan salah guna kuasa sejak berdekad lamanya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Calon Parlimen Pengerang kepada PH Pengerang di Felda Air Tawar 1, di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan yang mengumumkan pencalonan Che Zakaria.

Che Zakaria yang sebelum ini menumbangkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada PRU14 dengan majoriti 8,746 undi, dijangka berdepan dengan Datuk Seri Azalina Othman yang akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.

Difahamkan Che Zakaria merupakan seorang daripada enam calon Amanah di Johor yang akan bertanding pada PRU15.

Pengumuman enam calon Amanah Johor untuk PRU15 itu dilakukan di setiap kawasan Parlimen yang ditandingi parti tersebut. – UTUSAN

The post PH pertaruh bekas ADUN Permas di Pengerang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *