GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berpendapat Jun ini adalah waktu yang paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana tempoh yang ada pada masa ini adalah singkat untuk semua pihak bersedia sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing dibubarkan.

”PH Pulau Pinang ada bermesyuarat dan kita rasa mungkin Jun sesuai kerana kita berada dalam tempoh yang singkat sekarang ini.

”Sebenarnya kita boleh umumkan lebih awal (tarikh PRN), boleh umum dalam Januari atau Februari bahawa kita akan adakan PRN dalam bulan Jun dan bukan waktu terdekat.

”Sekiranya ia dapat dilakukan akan mengurangkan ketidakpastian dan akan membuatkan orang ramai lebih bersedia untuk menghadapi PRN,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan anggota perkhidmatan awam di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Pada PRU-15, enam negeri iaitu Kedah; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh kelak.

Menurut Kon Yeow, tiada sebab khusus mengapa PH Pulau Pinang merasakan Jun adalah waktu yang sesuai untuk mengadakan PRN.

”Bagi kami, sama ada Mei atau Jun ia tidak mengapa, tetapi di Pulau Pinang, kami rasa Jun adalah sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada PH Pulau Pinang telah mengadakan sebarang perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang untuk bekerjasama, Kon Yeow berkata, setakat ini tiada arahan untuk berbuat demikian daripada pimpinan PH Pusat.

”Mesyuarat PH Pulau Pinang telah diadakan pada Ahad lalu, dan kita berharap PH Pusat membuat keputusan atau memberi arahan kepada negeri mengenai soal kerjasama dengan BN.

”Tetapi PH Pusat tidak membuat apa-apa arahan, jadi hanya ada perbincangan secara am sahaja, tidak secara khusus,” katanya.

Tambahnya, jalinan kerjasama antara PH dan BN juga hanya berlaku di peringkat Kerajaan Pusat sahaja setakat ini dan secara rasminya masih tidak ada jalinan kerjasama sedemikian di peringkat negeri itu. – UTUSAN

The post PH Pulau Pinang beranggapan Jun sesuai diadakan PRN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *