PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) bersikap realistik dan enggan menawarkan pendidikan percuma semata-mata untuk memikat pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Jawatankuasa Manifestonya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tawaran itu ternyata tidak mampu ditunaikan dalam ketidaktentuan kewangan dan ekonomi negara pada masa ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR sekali gus menegaskan setiap manifesto yang dihasilkan PH adalah berbeza-beza tanpa mengulangi tawaran terdahulu.

“Kita lihat keadaan fiskal dan kewangan kerajaan kerana apabila hutang terlalu tinggi, kita merasakan pendekatan yang perlu berfokus kepada golongan B40, supaya lebih lestari.

“Semua parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) tidak akan meniru manifesto sama yang pernah dibuat sebab keadaan kewangan dan ekonomi negara berubah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Rabu lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan manifesto bertajuk Tawaran Harapan yang mengambil kira keperluan semua kaum, penduduk Sabah dan Sarawak.

Antara Tawaran Harapan dalam bidang pendidikan adalah pengampunan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar B40 di samping memperkenalkan lebih banyak biasiswa untuk golongan itu.

Selain itu, PH turut komited membasmi kemiskinan Internet dan melaksanakan subjek bahasa komunikasi asas seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazandusun serta semua bahasa etnik di sekolah.

Sementara itu Nik Nazmi berkata, PH mempunyai perancangan yang jauh lebih kukuh untuk Malaysia bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah isu-isu lain.

Katanya, janji yang ditawarkan gabungan itu lebih terperinci dan mampan berbanding manfesto BN dan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, kerajaan BN dan PN tidak menunjukkan tekad untuk menyelesaikan masalah PTPTN. – UTUSAN

The post PH realistik, enggan tawar pendidikan percuma kerana faktor ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *