BATU PAHAT: Penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon mendakwa Pakatan Harapan (PH) terus menabur fitnah terhadap dirinya berkaitan jawatan Timbalan Speaker semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kempen berunsur fitnah dan murahan seperti dilakukan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu amat memalukan dan tidak bersandarkan fakta sebenarnya. 

Katanya, Anwar jelas tidak mempunyai apa-apa isu yang boleh dikaitkan untuk menyerang dirinya. 

“Mereka serang saya secara terbuka dalam siri kempen dan ceramah di Batu Pahat, kononnya saya menangis dan merayu jawatan berkenaan diberikan kepada saya.

“Mereka lemparkan tuduhan dan fitnah bahawa saya khianat dengan gelaran ‘katak tak guna’ serta meminta saya dibuang ke laut dan parit pada 19 November,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Operasi Utama PN Batu Pahat, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rashid yang juga calon Perikatan Nasional  (PN) Parlimen Batu Pahat, orang yang baik pun kalau dicampak ke laut boleh jadi pulau. 

Pada PRU14, Mohd. Rashid bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat dengan majoriti 17,894 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.  

Walau bagaimanapun, Mohd. Rashid kemudian keluar parti apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’ dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada 2020, Mohd. Rashid dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN

The post PH terus tabur fitnah – Rashid appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *