ROURKELA – Ketua jurulatih skuad hoki negara, A. Arul Selvaraj tetap memuji kesungguhan ditunjukkan anak-anak buahnya walaupun tumbang 0-4 kepada Belanda pada aksi Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 hari ini.

Bagi Arul, barisan pemainnya sudah memberikan segala-galanya dalam aksi di Stadium Hoki Birsa Munda itu tetapi terpaksa akur dengan kekalahan disebabkan kesilapan-kesilapan mudah.

“Kita semua tahu di mana kedudukan kita dan Belanda. Namun, anda boleh lihat bagaimana para pemain bekerja keras sepanjang perlawanan walaupun tewas 0-4.

“Kami datang ke sini untuk Piala Dunia. Kalau kami tak beraksi dengan baik mungkin boleh ke 8, 9, 10 gol dengan Belanda. Secara keseluruhan pemain telah beraksi dengan bagus,” katanya.

Malaysia, No.11 dunia, melepaskan empat gol kepada gergasi No.3 dunia itu menerusi Thijs van Dam (m-20), Jip Janssen (m-24), Teun Beins (m-47) dan Jorrit Croon pada minit ke-60.

ROURKELA 14 JANUARI 2023 – Pemain Netherlands, Jip Janssen (tengah) mengejar bola dari Pemain Malaysia, Muhammad Firhan Ashaari pada Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Odisha Hoki Piala Dunia Lelaki 2023 Bhubaneswar – Rourkela, India di Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: ZUHAILY KOSMO

Prestasi dipamerkan Speedy Tigers dalam aksi kali ini jauh lebih bagus jika dibandingkan dengan tiga pertembungan terakhir mereka menentang naib juara Piala Dunia 2014 dan 2018 itu.

“Kami ada beberapa momen bagus dalam perlawanan. Kami dapat kuasai sebahagian permainan dan mencipta peluang melalui empat pukulan sudut penalti,” jelas Arul.

Kini, Arul mengharapkan anak-anak buahnya kembali fokus untuk aksi seterusnya pada Isnin ini menentang Chile yang turut tewas 1-3 kepada New Zealand dalam satu lagi perlawanan hari ini.

The post Piala Dunia Hoki: Arul puas hati prestasi pemain appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *