ROURKELA: Wakil tunggal Asia, Korea Selatan terpaksa akur dengan kemampuan finalis edisi 2014 dan 2018, Belanda apabila tewas 1-5 pada aksi suku akhir Piala Dunia Hoki 2023 sebentar tadi.

Kekalahan di Stadium Kalinga, Bhubaneswar itu meranapkan impian Korea Selatan untuk memahat nama sebagai empat pasukan terbaik pada edisi kali ini.

Pasukan No.9 dunia itu bermula baik apabila berjaya mengekang asakan Belanda dalam suku masa pertama sebelum gawang mereka akhirnya bolos menerusi gol padang Koen Bijen pada minit ke-27.

Bijen kemudiannya menggandakan kedudukan buat Belanda berselang empat minit kemudian sebelum Justen Blok meledak gol ketiga pasukan No.4 dunia itu pada minit ke-36.

Dua lagi gol Belanda dijaringkan Steijn van Heijningen (m-50) dan Teun Beins (m-57), manakala Seo Inwoo meledak jaringan tunggal buat Korea Selatan pada minit ke-51.

Lawan Belanda di separuh akhir pada Jumaat ini ialah Belgium yang mara selepas menewaskan New Zealand 2-0 semalam.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertemuan antara Australia menentang Jerman yang menewaskan England 4-3 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 2-2 sebentar tadi.-UTUSAN

The post Piala Dunia: Korea Selatan kempunan ke separuh akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *