DOHA: Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo mendedahkan impiannya sebagai pemain bola sepak adalah memenangi Piala Dunia untuk Portugal, namun cita-cita itu musnah apabila mereka tewas kepada Maghribi 1-0 dalam edisi kali ini.

Pemain berusia 37 tahun itu turut seolah-olah memberi ba­yangan bahawa tahun ini me­rupakan kali terakhir buatnya menyertai Portugal dalam Piala Dunia memandangkan usianya akan mencapai 42 tahun pada kejohanan akan datang.

Ronaldo yang akhirnya membuka mulut bercakap mengenai kekalahan Portugal sejak disingkirkan Maghribi berkata, impian untuk memenangi Piala Dunia untuk negaranya adalah perkara yang sangat diidamkan sepanjang bergelar pemain bola sepak.

“Memenangi Piala Dunia untuk Portugal adalah impian terbesar dalam kerjaya saya.

“Nasib menyebelahi saya apabila memenangi pelbagai gelaran antarabangsa termasuk untuk Portugal tetapi meletakkan nama negara sendiri dalam peringkat teratas dunia adalah impian saya sebenar. Malangnya, impian itu sudah berakhir,” tulisnya melalui satu hantaran di Instagram.

Ronaldo yang memecahkan rekod sebagai pemain terbanyak meraih penampilan antarabangsa dengan 196 perlawanan masih gagal membawa Portugal menjulang Piala Dunia.

Malah, semasa perlawanan suku akhir tersebut, Ronaldo dilaporkan meninggalkan padang dengan linangan air mata sebaik sahaja wisel penamat.

Ronaldo turut menjelaskan dia sentiasa mementingkan masa depan Portugal dan dedikasinya buat skuad Selecao tidak pernah berubah sama sekali.

“Saya hanya mahu semua orang tahu bahawa yang banyak diperkatakan, ditulis, spekulasi tetapi dedikasi saya kepada Portugal tidak pernah berubah.

“Saya sentiasa menjadi pemain yang berjuang memburu gol untuk Portugal dan saya tidak akan membelakangkan rakan sepasukan mahupun negara saya sendiri.

“Untuk masa sekarang, tiada apa perlu diperkatakan lagi. Terima kasih Portugal dan Qatar. Impian itu indah sehingga ia berakhir. Sekarang masanya untuk menjadi penasihat yang baik dan membenarkan sesiapa sahaja untuk buat kesimpulan mereka sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik enam anugerah Ballon d’Or itu juga menerima kata-kata semangat daripada Pele, Kylian Mbappe dan Alejando Garnacho. – Agensi/UTUSAN

The post Piala Dunia Qatar terakhir buat Ronaldo appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *