KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan UMNO perlu bertanggungjawab apabila kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan kira-kira RM300 juta bagi mengadakan pilihan raya secara berasingan di beberapa negeri 

Beliau berkata, isu pembaziran tersebut dapat dielakkan sekiranya UMNO tidak membubarkan Parlimen pada waktu ini memandangkan terdapat negeri-negeri yang tidak berhajat mengadakan pilihan raya pada tahun ini.

Sebaliknya, menurutnya, UMNO didapati tetap mahu membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 kerana memenuhi kehendak peribadi beberapa orang pemimpin yang mempunyai agenda peribadi.

“Mereka (UMNO) tahu bahawa ada negeri-negeri tidak berhajat untuk mengadakan pilihan raya dan perkara itu telah dimaklumkan kepada mereka termasuk negeri-negeri yang diperintah Pakatan Harapan (PH). 

“Jadi bila diberitahu tidak ada hujah yang kuat untuk adakan pilihan raya tapi mereka nak buat juga. Jadi merekalah sebenarnya yang mengheret rakyat kerana memenuhi kehendak peribadi, beberapa orang pemimpin mereka yang ada agenda peribadi.

“Bukan agenda rakyat, bukan agenda negara. Jadi, merekalah yang sepatutnya bertanggungjawab mengheret rakyat dalam kesusahan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan kira-kira RM300 juta lagi bagi mengadakan pilihan raya secara berasingan di enam negeri yang tidak membubar Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) serentak de­ngan pembubaran Parlimen. 

Negeri-negeri yang tidak mem­­­bubarkan DUN itu adalah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pi­nang, Selangor dan Ne­geri Sem­bi­lan. Mandat di semua negeri ini hanya tinggal enam bulan sahaja.

Selain itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, beliau mahu mendapatkan kepastian sebenar daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan parti itu mahu bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana mahu mendapatkan penjelasan daripada tuan badan sendiri berbanding apa yang dilaporkan dalam media.

“Kita dengar kenyataan-kenyataan untuk bertanding secara solo itu dari salah seorang naib presiden UMNO dan kalau kita bandingkan kenyataan-kenyataan beberapa bulan sebelum itu, kadang kala lain daripada apa yang dimaksudkan presiden. Kadang kala Naib Presiden (UMNO) cakap lain, Timbalan Presiden cakap lain, Presiden cakap lain, semua cakap lain. 

“Jadi sebab itu kami dalam proses untuk mendapatkan penjelasan daripada Presiden mereka sendiri. Walaupun yang terbaru ada dilaporkan Presiden mengesahkan UMNO akan bertanding solo, itu pun kita  dengar daripada media, kita tak salahkan media. Tapi kita nak dengar daripada mulut beliau sendiri,” katanya. – UTUSAN

The post PiIihan raya berasingan, UMNO perlu bertanggungjawab bazir RM300 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *