SAUDARA PENGARANG,

AKHIRNYA Parlimen sah bubar, maka sibuklah semua parti politik membuat persediaan terakhir untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sekarang semuanya terletak di tangan rakyat yang layak mengundi untuk memilih kumpulan politik dirasakan berwibawa mentadbir negara. Sepanjang penggal Parlimen ke-14 ini, rakyat telah mengalami dan melalui pelbagai keadaan dan cabaran.

Mereka menghadapi situasi kerajaan yang dipilih rakyat diambil alih melalui ‘pintu belakang’ dan kemudiannya kegagalan mengurus pandemik Covid-19 dengan baik.

Kesannya sehingga sekarang kita menghadapi masalah ekonomi apabila harga barangan keperluan semakin mahal dan ada suatu ketika rakyat hampir tiada bekalan makanan.

Dengan apa yang rakyat lalui selama empat tahun kebelakangan ini, mereka sudah kecewa dengan orang-orang politik. Sehingga ada yang mengambil keputusan tidak mahu ambil tahu.

Ditambah keadaan sekarang, kemungkinan PRU15 diadakan dalam keadaan hujan dan berkemungkinan banjir akan berlaku di beberapa tempat.

Rakyat yang layak mengundi tidak sepatutnya kecewa atau tidak mahu ambil tahu tentang politik kerana PRU15 kali ini adalah satu-satu peluang rakyat menentukan siapa yang layak sebenarnya mentadbir negara.

Pengalaman selama empat tahun ini sepatutnya boleh memberi satu gambaran kepada rakyat untuk memilih dengan bijak siapa yang layak mentadbir negara.

Kerajaan baharu selepas PRU15 mestilah berkeupayaan memperbaiki keadaan terutama dari segi ekonomi kerana ramai pakar meramalkan ekonomi dunia akan lembab bermula tahun depan.

Jadi, rakyat perlu menimbang dan memilih kerajaan diterajui individu yang berpengalaman dan berpengetahuan membawa negara mengharungi krisis ekonomi dunia. – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

The post Pilih kerajaan berpengalaman tangani krisis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *