KANGAR: Pembinaan Jeti Bersepadu Sanglang yang dijadual bermula tahun depan bakal menjadi penyelesaian terhadap isu alur pelayaran cetek di Kuala Perlis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Izizam Ibrahim berkata, pelaksanaan pelan jangka panjang bagi me­ngatasi isu tersebut dijangka bermula beberapa bulan selepas Projek Pembangunan Terminal Pelabuhan Darat Perlis (PIP) Fasa 1 dijalankan.

Katanya, usaha bagi melaksanakan kerja-kerja pengerukan di alur pelayaran cetek berhampiran terminal itu buat masa ini dilihat tidak dapat menyelesaikan permasalahan berkenaan secara berkesan.

“Kerajaan juga telah ber­belanja jutaan ringgit bagi melaksanakan kerja-kerja pengerukan di sana namun ia bukannya satu penyelesaian yang tuntas kerana isu ini akan masih berulang.

“Jadi, untuk penyelesaian yang berkesan, pemindahan terminal sedia ada ke Jeti Bersepadu Sanglang itu merupakan langkah paling berkesan yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, perkhidmatan feri yang tidak sekerap dulu berikutan masalah alur pelayaran cetek menyebabkan pengunjung yang menggunakan perkhidmatan feri di terminal Feri Kuala Perlis semakin merosot sehingga 70 peratus.

Walaupun ada pihak menyatakan pelancong tempatan tetap ke Langkawi, namun jumlahnya tidak sama seperti ketika feri disediakan setiap jam bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam setiap hari seperti sebelum ini.

Berikutan masalah tersebut, perkhidmatan feri di terminal tersebut juga sebelum ini pernah beberapa kali tergendala sekali gus memberi kesan terhadap sektor pelancongan.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Izizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi berkata, operasi di terminal sedia itu juga akan dikekalkan dengan perkhid­matan feri roll on roll off (roro) bersama beberapa pembangunan lain yang bakal menyusul.

Katanya, kerajaan negeri akan memastikan terminal sedia ada dan kawasan pekan Kuala Perlis tidak akan dibiarkan begitu sahaja walaupun perkhidmatan feri penumpang akan berpindah ke Jeti Bersepadu Sanglang nanti.

“Kita tidak akan abaikan pembangunan di Kuala Perlis dan kerajaan negeri akan me­lakukan perancangan bagi memastikan sektor pelancongan di kawasan pesisir pantai sekitar terminal itu dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Izizam berkata, isu alur pelayaran cetek itu sememangnya menjejaskan jumlah pelancong ke negeri ini dan menyebabkan mereka memilih destinasi lain untuk bercuti.

Katanya, keadaan ini akan merugikan negeri ini memandangkan sektor pelancongan di Perlis semakin mula mendapat perhatian daripada pengunjung luar.

“Jika perkhidmatan feri disediakan ini baik, maka lebih ramai pengunjung akan singgah ke Perlis dan memberi limpahan ekonomi buat kerajaan negeri serta penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN

The post Pindah ke Jeti Bersepadu Sanglang, bakal selesaikan isu alur pelayaran cetek di Kuala Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *