KANGAR: PKR menampilkan calon muda yang merupakan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Muhammad Syahmi Suhaimi, 23, yang juga Setiausaha Pengelola Majlis Perwakilan Negeri (MPN) berkata, dia sememangnya sudah bersedia untuk menggempur kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu dan bergerak mendekati pengundi di kawasan berkenaan sejak tiga minggu lalu.

“Memang kawasan itu kubu kuat BN, namun, saya rasa rakyat sudah boleh menilai bagaimana keadaan di sana yang masih kekurangan fasiliti dan kemudahan buat masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon PKR Perlis di sini hari ini.

Pengumuman oleh Pengerusi PKR negeri, Nurul Izzah Anwar itu menyaksikan parti itu bakal bertanding di sembilan kerusi DUN iaitu pertambahan empat kerusi berbanding PRU14.

Mengulas lanjut, Muhammad Syahmi yang merupakan mahasiswa dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam turut optimis dapat meraih sokongan pengundi, namun, tidak mahu terlalu selesa dan perlu berusaha lebih keras bagi mendekati rakyat.

“Persiapan jentera juga 80 peratus selesai dan kita akan bergerak secara agresif selepas hari penamaan calon nanti,” katanya.

Tambahnya, dia juga yakin pengundi di DUN Tambun Tulang pastinya lebih berfikiran terbuka dalam membuat pilihan calon mereka.

“Dengan kemelut yang melanda BN di Arau pastinya akan turut mempengaruhi sokongan di DUN Tambun Tulang dan ini sedikit sebanyak akan memberi kelebihan buat saya,” katanya. –UTUSAN

The post PKR pertaruh mahasiswa 23 tahun gempur kawasan kuat BN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *