PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah diiktiraf sebagai Syarikat Frontier oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Program Peningkatan Produktiviti kepada Enterprise atas kejayaan melaksanakan amalan baik pengurusan merangkumi pembangunan kompetensi, latihan dan bimbingan kepada kakitangan yang memperkasakan produktiviti syarikat.

Melalui program itu, PLUS dijangka memberi bimbingan kepada 1,200 syarikat tempatan untuk melaksanakan penambahbaikan proses bagi mengurangkan kos operasi sambil meningkatkan produktiviti dan memperkukuhkan daya saing untuk kelestarian perniagaan di masa hadapan.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman menekankan bahawa pertumbuhan dan tahap produktiviti di peringkat yang paling asas iaitu enterpris adalah kritikal yang memberi kesan kepada perkembangan di peringkat sektoral dan nasional. 

“PLUS adalah contoh konglomerat multinasional yang berteraskan perkongsian dan perpindahan amalan terbaik, maklumat dan kepakaran, teknologi dan kemahiran.

“Inisiatif itu dibangunkan bagi mengubah persepsi dan minda syarikat tempatan supaya dapat memahami kepentingan meningkatkan produktiviti dan menjadikan penambahbaikan proses sebagai satu budaya kerja melalui bimbingan dari syarikat peneraju. 

“Ini akan dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan seterusnya mengurangkan jurang prestasi produktiviti antara syarikat peneraju dan syarikat tempatan,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya yakin kerjasama strategik yang terjalin di antara MPC dan PLUS mampu membangunkan kompetensi kakitangan, mentransformasikan produk dan perkhidmatan lebuh raya ke arah permodenan operasi lebuh raya.

Ujarnya, projek penambahbaikan yang dihasilkan bukanlah semata-mata untuk mendapat pengiktirafan. 

Jelasnya, ia bertujuan untuk menggalakkan inovasi dan penambahbaikan berterusan yang dihasilkan melalui pembudayaan kreativiti dan inovasi di kalangan kakitangan. 

“la merupakan salah satu usaha PLUS untuk mencari jalan penyelesaian yang diharap dapat membantu ke arah kecemerlangan perkhidmatan lebuh raya terutamanya di era pendigitalan dan teknologi tinggi,” katanya.

Pelaksanaan projek penambahbaikan proses telah membantu PLUS menjimatkan kos sebanyak RM159 juta dan memperolehi tambahan sebanyak RM1.1 juta dari tahun 2020 hingga 2022. 

Peningkatan sebanyak 70 peratus kecekapan proses kerja juga telah direkodkan sepanjang tempoh tersebut.

Seramai 216 warga PLUS telah menerima pengiktirafan Productivity Champion melalui 236 projek penambahbaikan. 

Pengiktirafan itu diberikan kepada kakitangan PLUS yang telah banyak melaksanakan penambahbaikan proses, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti syarikat, hasil, kecekapan kerja dan reputasi jenama.

Antara projek penambahbaikan yang dilaksanakan oleh PLUS adalah penggunaan teknologi yang terkini dengan menambahbaik sistem penyebaran maklumat. 

Hasilnya, maklumat yang lebih pantas dan tepat dapat disampaikan kepada pengguna lebuh raya melalui PLUS Unique Texting Realtime Interface (Putri), iaitu chatbot kecerdasan buatan yang pertama bagi industri lebuh raya.

Selain itu, PLUS turut menggunakan Unmanned Aerial System (UAS) untuk pemantuan trafik dan penyelenggaraan. – UTUSAN

The post Plus Malaysia diiktiraf sebagai Syarikat Frontier appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *