DAMANSARA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo mempersoalkan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada menurut kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atau pun rakyat Malaysia?

Gobind berkata demikian bagi mengulas tindakan Ismail Sabri yang membubarkan Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa mengambil kira keadaan cuaca yang kini dalam musim tengkujuh.

“Adakah rakyat hendak PM yg lemah seperti itu? Kita kena sedarkan beliau yang rakyat tidak perlukan lagi parti tersebut untuk menjadi kerajaan.

“Kita perlukan pemimpin yang boleh membawa Malaysia ke hadapan, adakah itu Ismail Sabri? Tidak sama sekali, jadi, tolak beliau,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Umum Pakatan Harapan di sini, malam ini.

Beliau berkata, kalau Barisan Nasional (BN) menang, adakah Zahid Hamidi pula akan menjadi Perdana Menteri?, adakah rakyat mahukannya sebagai pemimpin negara?

“Rakyat juga kena peka dengan katak-katak yang asyik melompat parti. Disebabkan itulah dalam PH, kita menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk pastikan tiada ahli melompat parti sesuka hati.

Pada masa yang sama, tambah Gobind, rakyat mesti mahu undi parti yang boleh menang majoriti dan PH mampu menang serta tidak perlu bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan.

“Rakyat mahu Perdana Menteri yang berkaliber, PH mempunyai calon yang berkelayakan di samping pelan lima tahun untuk membangunkan negara,” ujarnya. –UTUSAN

The post PM dengar kata Zahid atau rakyat? -Gobind appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *