BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap situasi menang-menang dapat dicapai antara Kementerian Pendidikan dan guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh yang berdepan tindakan dibuang kerja atau turun pangkat selepas kerap kali menegur silibus aras tinggi bagi mata pelajaran matematik sekolah rendah.

Perdana Menteri berkata, dalam menjaga integriti, Kementerian Pendidikan perlu mengambil kira pelbagai pandangan dalam memutuskan tindakan dan penjawat awam pula perlu menghormati pihak kementerian.

“Saya menelefon Ketua Pengarah Pendidikan tentang guru yang tersebar tular dalam media sosial konon tindakan akan diambil terhadap beliau seperti dipecat, turun pangkat digantung dan macam-macam lagi.

“Surat tunjuk sebab itu perkara biasa dalam jabatan kerajaan, tetapi, esok jawatan kuasa disiplin akan bermesyuarat dan membuat keputusan selepas itu,” katanya dalam sidang akhbar pada program Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di sini hari ini.

Mohd. Fadli berdepan tindakan dibuang kerja atau turun pangkat selepas kerap kali menegur silibus aras tinggi bagi mata pelajaran Matematik sekolah rendah.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Mohd. Fadli memuat naik surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Sokongan (No.1) Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.

Surat berkenaan bertajuk ‘tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat’ yang melibatkan tiga pertuduhan terhadap Mohd. Fadli selepas guru berkenaan lantang menegur silibus sistem pendidikan di laman Facebooknya.

Antara teguran Mohd. Fadli ialah beg berat, silibus tinggi dan padat, silibus syok sendiri, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek yang banyak, masa belajar untuk subjek teras singkat dan adanya ‘Little Napoleon’ dalam sistem pendidikan.

Menurut Ismail Sabri, beliau yang tidak mahu mendahului keputusan jawatankuasa disiplin percaya tindakan yang keras tidak akan berlaku dan perkara positif akan didengar esok.

“Saya dimaklumkan pagi tadi sudah ‘viral’, banyak komen netizen tentang tindakan yang mungkin diambil, ramai berikan komen negatif, sebab itu saya bagitau Ketua Pengarah Pendidikan dalam masa sama menjaga integriti pendidikan, mesti dengar pandangan masyarakat,” ujarnya. –UTUSAN

The post PM harap situasi menang-menang dalam isu Cikgu Fadli appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *