TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida merancang untuk memecat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Minoru Terada, lapor akhbar Yomiuri hari ini.

Beliau adalah menteri Kabinet ketiga yang dijangka disingkirkan dalam tempoh kurang sebulan dengan langkah itu menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Kishida yang kian terjejas.

Yomiuri melaporkan, Kishida memutuskan untuk menyingkirkan Terada semalam susulan tekanan yang terus meningkat dalam partinya untuk mengurangkan kesan pada sidang Parlimen akan datang bagi belanjawan tambahan tahun fiskal kedua 2023/2024 dan bakal membincangkan prosedur bersama pembantunya hari ini.

Terada mendapat kecaman kerana beberapa skandal pembiayaan dan telah mengakui bahawa salah satu kumpulan sokongannya telah menyerahkan dokumentasi pembiayaan yang kononnya ditandatangani oleh orang yang telah mati, ini sekali gus meningkatkan gesaan supaya beliau berundur sebelum perbincangan belanjawan bermula minggu ini.

Penyingkiran Terada boleh melemahkan lagi kerajaan pimpinan Kishida, malah menurut beberapa tinjauan baru-baru ini menunjukkan kadar sokongan terhadapnya kekal di bawah 30 peratus, situasi yang mungkin menyukarkan beliau untuk menjalankan agenda politiknya.

Kishida dalam satu sidang akhbar di Bangkok semalam berkata, beliau akan membuat keputusan mengenai Terada mengikut keperluan.

Selepas memimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) dengan kemenangannya pada pilihan raya pada Julai, Kishida dijangka berada pada kedudukan selesa tanpa pilihan raya yang hanya perlu diadakan pada 2025.

Namun, popularitinya merosot susulan pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe yang mendedahkan hubungan erat di antara ahli LDP dan Gereja Penyatuan, sebuah kumpulan yang digelar pengkritik sebagai kultus.

Suspek kes pembunuhan itu berkata, ibunya telah muflis dan menyalahkan Abe kerana mempromosikannya.

Sebilangan besar pengundi juga tidak bersetuju dengan keputusan Kishida untuk mengadakan pengebumian negara untuk Abe, yang berlangsung pada penghujung September. – REUTERS

The post PM Jepun rancang pecat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *