KUALA KANGSAR: Perak yakin dengan enam ahli Parlimen dari negeri itu yang dilantik antara anggota Kabinet mampu menarik pelabur sekali gus membawa kemajuan pada negeri ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya menyambut baik pelantikan mereka.

“Enam Kabinet dari Perak ini diberi kepercayaan untuk memikul amanah bagi mengemudi beberapa kementerian yang agak penting. 

“Mudah-mudahan dengan adanya lantikan tersebut, sedikit sebanyak dapat melonjakkan kemajuan dalam negeri Perak sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-15 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Menurutnya, pelantikan ahli Kabinet dari negeri ini diharapkan akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk melihat Perak sebagai tempat pelaburan baharu di Malaysia. 

Beliau berkata, Perak sedang berusaha keras untuk membuat persiapan untuk menarik pelabur bagi mengisi tapak industri yang kita bina. 

“Menerusi pengumuman pelantikan ahli Kabinet semalam, saya yakin ia memberi impak positif kepada negeri dan saya yakin pelabur dapat lihat Perak sebagai potensi baru untuk pelaburan di Malaysia,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan saiz barisan Kabinet yang disertai 28 Menteri. 

Jumlah saiz itu, termasuk Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun memegang portfolio Menteri Kewangan adalah lebih kecil berbanding seramai 31 jemaah menteri dalam kerajaan sebelum ini.

Lima anggota Kabinet lain yang dilantik dari Perak termasuk Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Menteri Luar Negeri dan Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dilantik sebagai Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan. –UTUSAN

The post PM, TPM serta empat menteri dari Perak lonjak kemajuan negeri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *