PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah di atas pemergian mantan rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan hari ini.
Dalam kenyataan, Anwar berkata, Allahyarham seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan dunia akademik negara.
“Terima perkhabaran duka Dr. Mohd Kamal Hassan yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
“Allahyarham seorang tokoh pemikir Islam yang banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan dan tentunya kehilangan ini meninggalkan bekas yang mendalam kepada sanubari umat,” kata Anwar di Facebook.
Beliau turut mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Dr. Mohd. Kamal yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) meninggal dunia pada usia 81 tahun.
Perkara itu dimaklumkan oleh IKIM menerusi satu hantaran Facebook. – UTUSAN
The post PM ucap takziah atas pemergian Dr. Mohd. Kamal appeared first on Utusan Malaysia.