KUALA NERUS: Perikatan Nasional (PN) hanya fokus kepada usaha mentadbir negara secara bersendirian selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa gabungan dengan parti politik yang lain.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul isu kerjasama terbabit ketika sokongan rakyat terhadap PN semakin baik menuju hari pengundian, Sabtu ini.

Menurutnya, kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tentang kesediaan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) telah diperjelaskan.

“Tiada perbezaan atau percanggahan di sini, beliau (Takiyuddin) pun sudah betulkan balik. Tak timbul isu kita nak berpakat dengan sesiapa (parti) yang penting dokongan rakyat sekarang ini.

“Apabila dokongan rakyat itu semakin besar, kita (PN) boleh membina (kekuatan) untuk menerajui negara.

“Sebenarnya ‘option’ (gabungan) itu lama dah bincang cuma bukan jadi pilihan sekarang. Buat masa ini parti-parti (PN) teruskan gerak kerja untuk mentadbir negara secara bersendirian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Sepetang Bersama Timbalan Presiden Pas di pekarangan Pasar Batu Enam di sini, hari ini.

 Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, beliau menepis tohmahan PN lebih didominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbanding Pas.

Tegasnya, segala keputusan yang diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah keputusan bersama yang dibuat lima parti komponen dalam gabungan berkenaan.

“PN ada majlis tertinggi dan sering ada perjumpaan antara Muhyiddin, Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) serta parti komponen lain. Kenyataan daripada pengerusi itu adalah biasa.

“Tidak ada perkara yang boleh menjejaskan kempen PN sehingga saat akhir. Yang penting semua parti berusaha dan kita yakin PN boleh mentadbir selepas PRU15,” katanya. – UTUSAN

The post PN fokus usaha tadbir negara tanpa gabungan parti politik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *