TASEK GELUGOR: Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan khidmat ejen khas untuk menyelidik serta menyiasat mana-mana ahli dalam parti gabungan itu  yang cuba berpaling tadah.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini termasuk mereka yang menjadi pencadang, penyokong serta berkempen untuk parti lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, satu kenyataan mengenai perkara itu juga dikeluarkan semalam dan mereka yang didapati terlibat akan tergugur keahlian jika dikesan berbuat demikian.

“Sebenarnya, laporan (salah laku mereka) ini datang daripada semua pihak. Ada yang datang daripada ketua-ketua, pengerusi PN di kawasan masing-masing dan mereka juga tahu siapa (pelaku) dengan bukti-bukti yang nyata.

“Sebab itulah kita kena selidik. Kita bagi ejen-ejen turun tengok betul-betul dan jika semuanya terbukti betul selepas satu penyiasatan yang lengkap dibuat, maka kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama para pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Senangan, Butterworth di sini, hari ini. 

Selain Bersatu, satu lagi parti komponen dalam PN iaitu Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini turut memberi ‘kata dua’ kepada mana-mana ahli parti tersebut yang membantu kempen ahli parti lain pada PRU15.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, manifesto PN hasil daripada dasar yang komprehensif terhadap hal ehwal ekonomi dan bertujuan membantu semua pihak khususnya rakyat.

“Kita mahu bersikap adil kepada semua orang. Semua itu (manifesto) kita buat kajian dengan profesor, profesor ekonomi, saintis dan ahli politik sendiri yang tahu kehendak di bawah (rakyat),” katanya yang menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa manifesto PN tidak menyeluruh dan kurang menyentuh soal ekonomi. – UTUSAN

The post PN guna ejen khas siasat ahli berpaling tadah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *