KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang melantik Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagi mengetuai rundingan untuk membentuk kerajaan negeri ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, PN Pahang akan meneruskan rundingan bagi membentuk kerajaan negeri segera.

Beliau dalam kenyataannya juga merakamkan penghargaan kepada para pengundi di negeri ini yang memberi kemenangan kepada PN.

“Terima kasih kepada pengundi negeri Pahang kerana memberi kemenangan kepada PN sehingga kami berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN Pahang menang tujuh kerusi Parlimen dan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Pahang masih dalam keadaan tergantung apabila Barisan Nasional (BN) menang 16 kerusi DUN dan lapan Pakatan Harapan (PH).

Difahamkan Pahang juga bakal menyaksikan kerjasama antara BN dan PH bagi membentuk kerajaan negeri selepas Perak.

Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada pengumuman rasmi oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung kerjasama tersebut. –UTUSAN

The post PN Pahang lantik Tuan Ibrahim ketuai rundingan bentuk kerajaan negeri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *