KUANTAN: Muslimat Pas, Nor Idayu Hashim, 35, dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 7 Disember ini. 

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, gabungan itu bersetuju mengekalkan calon daripada parti Pas di DUN berkenaan.

“Saya telah menerima surat daripada Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar tentang calon dimaksudkan. Calon dipilih ialah Nor Idayu. 

“Beliau dipilih dalam  kalangan pimpinan akar umbi bagi mewakili suara wanita dalam DUN Pahang.

“Nor Idayu juga seorang muslimat dalam kalangan pemimpin wanita tempatan dan orang muda yang berupaya menyelami isi hati akar umbi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN, Md. Yunus Ramli meninggal dunia di Hospital Rompin akibat komplikasi jantung.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRU DUN Tioman perlu diadakan semula pada 7 Disember depan.- UTUSAN

 

The post PN Pahang tampilkan calon muslimat bagi DUN Tioman appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *