PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia dari segi logistik dan pengangkutan bagi membawa pengundi keluar pada Sabtu ini jika berdepan cuaca hujan.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, jentera parti di setiap Parlimen sudah dikerah membawa keluar seramai mungkin pengundi dengan kemudahan pengangkutan yang disediakan.

Menurutnya, jika dilihat pada trend ketika ini, hujan biasanya pada sebelah petang, justeru pengundi dinasihat untuk keluar mengundi pada sebelah pagi.

“Kita ingin lihat peratusan keluar mengundi yang tinggi supaya kemenangan memihak kepada PN pada Sabtu ini.

“Kami faham bahawa cabaran terbesar jika hujan adalah pergerakan. Malah, semalam di Gombak kami tetap ‘berperang’ (berceramah) biarpun hujan lebat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, pagi tadi.

Dalam konteks pengundi di Putrajaya pula, Radzi berkata, beliau menasihatkan pengundi di sini supaya keluar mengundi dahulu sebelum pulang ke kampung halaman.

“Kami faham ada pasangan yang mengundi di lokasi berbeza, namun selesaikan dahulu mengundi di sini sebelum pulang ke kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, perjalanan kempen pada minggu akhir ini akan terus dipergiatkan.

“Kita akan memastikan jentera bergerak secara efektif bagi memastikan malamnya diumumkan Putrajaya milik PN,” katanya. – UTUSAN

The post PN sedia logistik, pengangkutan jika hujan hari mengundi  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *