KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) bersetuju mempertimbang cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi, hari ini.

“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi pada hari ini telah membincangkan mengenai cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju mempertimbang cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PETUGAS media yang masih menunggu di luar kediaman Muhyiddin Yassin di ibu negara.

Terdahulu, beberapa pemimpin PN tiba di kediaman Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Setia Bakti 2, Bukit Damansara, di sini.

Mereka dilaporkan berkumpul bagi menunggu keputusan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara, hari ini.

Ia susulan Mesyuarat Khas itu diadakan hari ini bagi membincangkan pelantikan Perdana Menteri Ke-10.

Perbincangan khas itu bertujuan untuk Seri Paduka mendapat pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Antara pemimpin yang dipercayai berkumpul kediaman Muhyiddin di sini adalah Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusoff.

Selain itu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Semalam, Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyokong Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan perpaduan bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil, tetapi bukannya diterajui oleh PN. – UTUSAN

The post PN setuju pertimbang cadangan Kerajaan Perpaduan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *