ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) hampir menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membabitkan 14 kerusi kecuali Padang Serai yang ditangguhkan pengundian.

Sebanyak 10 kerusi baharu memihak kepada gabungan itu berbanding tiga kerusi yang dimenangi Pas pada PRU14 lalu.

Wakil Pas yang bertanding di sembilan kawasan mencipta kemenangan di kesemua kerusi itu kepada PN termasuk mengalahkan nama-nama besar daripada parti lain, manakala empat calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menang.

Antara yang menang ialah Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya di Pokok Sena dan Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah di Langkawi.

Kedua-dua mereka masing-masing menewaskan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad (Langkawi) dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Jerlun, Dr. Abd. Ghani Ahmad menumpaskan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail mengalahkan Datuk Amiruddin Hamzah di Kubang Pasu.

Selain itu, Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid turut mencipta sensasi di Padang Terap apabila berjaya menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) sehingga penyandangnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Naib Presiden UMNO akur dengan kekalahan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula berjaya mengenepikan cabaran enam pesaingnya dalam pertembungan tujuh penjuru di Alor Setar, manakala Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi menang di Kuala Kedah.

Sementara itu, Datuk Awang Hashim, Sabri Azit dan Ahmad Tarmizi Sulaiman mengekalkan Pendang, Jerai dan Sik yang dimenangi pada PRU14 apabila mengalahkan lawan masing-masing termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob.

Dalam pada itu, YDP Pas Kawasan Baling, Hassan Saad turut menang di Parlimen itu, sekali gus menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dua lagi wakil Bersatu, Mohd. Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) yang juga muka baharu memenangi kerusi masing-masing dengan Roslan mengalahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, hanya seorang calon PN, Dr. Robert Ling Kui Ee tidak berjaya menghadiahkan kemenangan kepada gabungan itu apabila tewas kepada wakil Pakatan Harapan (PH), Mohamed Taufiq Johari di Sungai Petani.

Sementara itu, proses pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai hanya akan diadakan pada 7 Disember ini susulan kematian calon PH, M. Karupaiya dua hari sebelum hari pengundian, semalam. –UTUSAN

The post PN tambah 10 kerusi Parlimen di Kedah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *