KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang mengesahkan akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rundingan PN peringkat negeri berjaya dilaksanakan dan keputusan meletakkan calon sudah dimuktamadkan.

“Pengagihan kerusi di Pahang antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan sudah selesai dan sekarang hanya menunggu keputusan majlis tertinggi, PN Pusat.

“Tidak lama lagi akan diumumkan nama-nama calon, tetapi saya tidak pasti bila ia akan diumumkan, apa pun sebelum tarikh penamaan calon pada 5 November ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

Ketika ditanya tentang jumlah agihan kerusi, beliau berkata, semua parti gabungan yang akan bertanding pastinya adalah atas tiket PN.

“Saya ingat saya tak boleh nak sebut berapa bilangan agihan. Kita tunggu pengumuman sikit masa lagi. Hanya boleh cakap rasanya ramai muka baharu dan silap-silap 100 peratus adalah muka baru. Saya sendiri pun tidak tahu sama ada saya bertanding atau tidak,” katanya.

Pada PRU-14 lalu, BN menang 25 daripada 42 DUN, Pakatan Harapan (sembilan) dan Pas (lapan). – UTUSAN

The post PN tanding semua kerusi Parlimen, DUN Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *