PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu sudah dimuktamadkan sejak awal lagi untuk tidak bekerjasama dengan parti berkenaan.

“Itu pendirian parti kita sejak dulu sampai hari ini, dan atas tujuan apa sekali pun perpaduan sebagainya kita tetap tidak bersetuju.

“Tadi saya diminta menandatangani dokumen persetujuan, saya tandatangani tetapi saya tulis di atas tidak bersetuju.

“Tuan guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) pun ada bersama, kita dah sepakat atas sebab-sebab yang kita tahu kenapa PN tidak boleh bekerjasama dengan PH,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di sini sebentar tadi.

Beliau pada pukul 4.30 petang tadi dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, gabungan itu menerima sokongan lebih 112 Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dokumen mengandungi akuan berkanun (SD) daripada 115 Ahli Parlimen itu diserahkan secara email kepada Istana Negara, semalam.

Menurutnya, bukti penerimaan turut diterima daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sebab itu kami yakin kami dapat membentuk kerajaan tapi maklumlah bila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak cukup,” katanya. – UTUSAN

The post PN tidak akan bentuk kerajaan perpaduan dengan PH – Muhyiddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *